SMK DATO' SHAMSUDIN NAIN
BERILMU BERBUDI BERAMAL
   Home      TENTANG SMKDSN
Sejarah

Sekolah ini telah diasaskan oleh beberapa orang tokoh tempatan yang berpandangan jauh dan memahami tentang kepentingan pendidikan. Berputik daripada perbincangan tidak rasmi antara ketua-ketua masyarakat setempat yang terdiri daripada ketua-ketua kampong, Imam Masjid Qariah Rantau serta Dato’ Penghulu Mukim Rantau ketika itu, En. Mansur Bin Pawi, maka tertubuhlah satu jawatankuasa bertindak untuk mengetuai satu rombongan menemui Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan bagi memohon mendirikan sebuah lagi sekolah menengah di Rantau memandangkan bilangan pelajar di kawasan Rantau ini telah bertambah dengan pesatnya.

Pada tahun 1980, maka bermulalah era persekolahan ini apabila rombongan tersebut telah pergi menemui Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan dan akhirnya pada Januari 1981, projek sekolah ini dimulakan di atas tapak seluas 15 ekar yang diperolehi dari Ladang Linsum dan dinamakan Sekolah Menengah Rendah Rantau.

Sewaktu sekolah ini mula dibuka, En. George Lim Kian Hee telah dilantik sebagai penyelia dan dibantu oleh 16 orang guru untuk mendidik 241 orang pelajar. Walaupun bangunan sekolah belum siap sepenuhnya namun proses pengajaran dan pembelajaran tetap berjalan lancar dengan menumpang di Sekolah Menengah Rantau pada sesi petang. Masalah bangunan ini akhirnya selesai pada 1 Januari 1982 apabila bangunan 4 bloknya siap disempurnakan.

Pada tahun 1982 merupakan tahun pertama pelajar sekolah ini menduduki Sijil Rendah Pelajaran dan diikuti pada tahun 1992 pelajarnya menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pula apabila sekolah ini mula menerima pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 pada tahun 1991.

Pada tahun 1988, pengetua ketika itu telah mencadangkan nama sekolah ini ditukar kerana nama ringkas Sekolah Menengah Rantau (SMR) dan Sekolah Menengah Rendah Rantau (SMRR) sering mengelirukan pejabat pos dan orang ramai. Nama Sekolah Menengah Dato’ Shamsudin Nain akhirnya telah dipilih berdasarkan ketokohan beliau sebagai seorang anak watan yang telah berjaya dalam bidang akademik, pentadbiran, ekonomi dan sosial. Beliau dilahirkan pada 23 Julai 1911 di Kampung Sega, Rantau dan merupakan anak ketiga dari lima orang adik beradik dalam keluarga petani. Beliau merupakan anak tempatan yang pertama berjaya menjejakkan kaki di Kolej Melayu Kuala kangsar dan seterusnya melanjutkan pelaran-nya ke universiti di England dalam jurusan Undang-undang. Jasa beliau terhadap masyarakat setempat dan Negara amat besar dan seharusnyalah pemilihan nama beliau kepada sekolah ini menepati ciri-ciri yang murni serta luhur untuk diabadikan. Maka dengan ini secara rasminya sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Shamsudin Nain, Rantau, Negeri Sembilan.

Bangunan Blok baru SMKDSN telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus pada 26 Mac 2005 sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa dan Guru SMKDSN sesi 2005/2006. Dengan terbinanya bangunan blok baru ini, bermakna SMKDSN telah lengkap dari segi kemudahan fizikalnya. Bangunan Blok Baru ini mengandungi beberapa buah bilik darjah, Bilik Guru, Pejabat, Perpustakaan, Bilik Tayangan, Makmal Sains, Bengkel Kemahiran Hidup, Makmal Bahasa dan sebagainya lagi.